Archive | Mei 9, 2012

Mengapakah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan konflik? Bagaimanakah penyelesaiannya?


Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Akhirnya pada 8 Julai 2009 dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan.

PPSMI ini sebenarnya telah menimbulkan banyak konfik kepada sistem pendidikan negara kita. Menurut Kajian “Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid” mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Kajian ini juga mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada penguasaan bahasa Inggeris sebanyak empat peratus dan pada masa yang sama mengurangkan minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik. Sekiranya murid diajar dalam bahasa yang mereka yang tidak faham maka ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat menguasai subjek tersebut dan sebab itulah ia akan membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.  Ini juga akan menyebabkan murid tidak minat belajar subjek sains dan matematik kerana tidak faham apa yang diajar oleh guru dan berpunca daripada masalah tidak menguasai bahasa inggeris.

Di samping itu, kajian ini juga disokong oleh kajian Permuafakatan Badan Ilmuah Nasional yang  mendapati bahawa PPSMI telah menimbulkan kerugian berganda kepada murid terutamanya kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. PPSMI ini juga telah membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

Selain itu, menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh 11 pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris. PPSMI ini juga bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik di SJK(C) bahkan juga bahasa Cina di kalangan murid-murid. Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.

Dasar PPSMI ini juga berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka. Murid yang tinggal di luar bandar kebanyakkannya berasal daripada keluarga yang susah dan mempunyai latar belakang pendidikan yang tidak tinggi, maka keupayaan mereka untuk menguasai bahasa Inggeris adalah kurang jika dibandingkan dengan murid bandar yang mana kebanyakkan mereka berasal daripada keluraga yang berada dan mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. Oleh itu, murid di luar bandar akan semakin ketinggalan di belakang dalam menguasai subjek sains dan matematik berbanding murid di kawasan bandar.

Pelaksanaan PPSMI yang dibuat serta-merta menyebabkan guru-guru sains dan matematik yang tidak menguasai Bahasa Inggeris dipaksa mengajar di dalam bahasa tersebut, sekaligus menjejaskan mutu pengajaran mereka. Mangsa paling besar dasar ini ialah pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga yang tidak berbahasa Inggeris yang menanggung beban tambahan menyesuaikan diri dengan guru-guru yang tidak dapat mengajar kedua-dua mata pelajaran ini dengan baik.

Disebabkan PPSMI mendapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak dan memberi kesan negatif kepada sistem pendidikan negara khususnya kepada murid luar bandar. Maka pada 4 November 2011, Kabinet Malaysia telah memutuskan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah “kekal” dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti dituntut sesetengah pihak. Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merangkap sebagai Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PPSMI di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya pada 2016 manakala di sekolah menengah bagi kedua-dua mata pelajaran itu akan dilaksanakan sepenuhya pada 2021. Kabinet juga memutuskan untuk membenarkan murid kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima. Ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan. Sesungguhnya pembelajaran subjek sains dan matematik tidak boleh diajar dengan bahasa yang murid tidak faham kerana ini akan menyebabkan murid tidak dapat menguasai subjek tersebut dan seterusnya akan mempengaruhi keputusan peperiksaan murid dalam subjek tersebut.

Berdasarkan rekod Kementerian Pelajaran Malaysia, berkenaan dengan peratusan pelajar yang memilih untuk meneruskan pembelajaran bagi subjek sains dan matematik dalam bahasa Melayu, sebanyak 89 peratus pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan 3 Januari 2011 memilih menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan dwibahasa bagi mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik. Manakala hanya 11 peratus pelajar memilih belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Berdasarkan peratusan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat.

Lantaran itu, Muhyiddin akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris pada tahun 2012 bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian BI pelajar dalam sistem persekolahan negara. Katanya, majlis tersebut bakal berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan tanda aras bahasa itu dalam sistem pendidikan negara kita. Majlis ini akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge. Langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini patut dilakukan kerana untuk memantapkan penguasaan bahasa inggeris murid bukannnya melalui subjek sains dan matematik tetapi melalui subjek bahasa inggeris itu sendiri.

Selain itu, kerajaan juga boleh menganjurkan pelbagai kursus kepada guru-guru bahasa inggeris supaya mereka lebih mahir dan dapat mengajar dengan berkesan. Kebanyakan sekolah di kawasan luar bandar menghadapi masalah kekurangan guru bahasa inggeris dan sepatutnya kerajaan memperbanyakkan lagi guru bahasa inggeris terlatih di kawasan luar bandar kerana murid di kawasan luar bandar ini lagi lemah dalam penguasaan bahasa inggeris jika dibandingkan dengan murid di kawasan bandar.

Kerajaan juga boleh membuat penambahbaikkan dalam kurikulum bahasa inggeris yang sedia ada bagi memantapkan penguasaan murid dalam bahasa inggeris. Sekiranya murid dapat menguasai bahasa inggeris melalui subjek bahasa inggeris itu sendiri maka mereka tidak akan menghadapi masalah apabila memasuki universiti atau pengajian tinggi yang lain. Ini kerana sekiranya subjek-subjek yang diajar di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa inggeris, mereka akan faham kerana mereka sudah mempunyai asas yang kukuh dalam bahasa inggeris. Sebenarnya untuk mengukuhkan bahasa inggeris ini mesti melalui subjek itu sendiri dan bukannya melalui subjek lain seperti yang dilaksanakan oleh dasar PPSMI.

Masa pengajaran untuk subjek bahasa inggeris juga boleh ditambah bagi memastikan guru-guru dapat mengajar bahasa inggeris secara berkesan dan tidak tergesa-gesa untuk menghabiskan silibus semata-mata. Dengan penambahan masa pengajaran ini, guru bahasa inggeris dapat memberi fokus kepada pelajar yang lemah dalam bahasa inggeris kerana pelajar yeng lemah ini memerlukan banyak tunjuk ajar dan bimbingan daripada guru bagi memastikan mereka faham apa yang diajar dan seterusnya dapat menguasai bahasa inggeris.

Oleh itu, dapat disimpulkan disini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menimbulkan banyak konflik dan kesan yang negatif kepada sistem pendidikan negara kita dan terdapat cara lain yang lebih baik untuk kita memperkasakan bahasa Inggeris dan memartabatkan bahasa Melayu selain daripada PPSMI ini.

Rujukan

1. Cheong Yuen Keong. 2010. Impak Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris    ke atas Pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Jurnal Terjemahan Alam dan        Tamadun Melayu 1:2 (2010) 21-38.

 

2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Pengajaran_dan_Pembelajaran_Sains_dan_Matematik_dalam_

    Bahasa_Inggeris